Pendekatan pengajaran pembelajaran berpusatkan pelajar perlu diberi penekanan dan diamalkan di dalam bilik darjah. Guru perlulah berani untuk mencuba dan mengamalkan strategi pengajaran yang lebih melibatkan pelajar dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti pembelajaran. Banyak pendekatan yang boleh digunakan namun, penulis memberi lima pendekatan P&P yang dianggap berkesan seperti P&P berasaskan TMK, P&P berasaskan Projek, P&P Masteri, P&P Koperatif dan Kolaboratif serta P&P Konteks Luar. Setiap pendekatan pembelajaran ini mempunyai kelebihan dan kemampuan tersendiri untuk dilaksanakan. P&P ini berbeza mengikut aktiviti yang dirancang oleh guru Berdasarkan ini, rumusan yang boleh dibuat adalah sesuatu strategi pengajaran menggabungjalinkan pelbagai kaedah atau pendekatan pengajaran pembelajaran untuk mencapai kesan yang optimum kepada pelajar. Strategi yang baik akan menggunakan masa, tenaga serta kos yang paling sedikit tetapi menghasilkan kesan pengajaran pembelajaran yang paling maksimum.
Senario yang diberikan adalah contoh pembelajaran berpusatkan guru (teacher-centered) atau tradisional yang dilaksanakan di dalam bilik darjah. Untuk mencapai pendidikan bertaraf dunia, kita perlu berubah ke arah kaedah yang lebih rasional dan praktikal iaitu berpusatkan pelajar (student-centered). Oleh itu, seseorang guru perlu membuat anjakan paradigma terhadap pemikiran serta tanggapan yang akan melibatkan penyusunan strategi pengajaran dan amalan di bilik darjah:
“Kita perlu berkisar dan berganjak daripada norma dan kebiasaan dalam melaksanakan
tugas-tugas kita yang lazim, rutin dan “reasonable” kepada yang lain:yang inovatif dan imaginatif; yang bersifat non-linear,dan lateral yang menggunakan budaya “reflective rationality”dan yang “unreasonable”
(Wan Mohd. Zahid Mohd. Nordin,1993)
